“Pak Cikkkkkkkkkkk!!!”
Asyraf menjerit sekuat hati melihat seraut wajah sugul di ruang menunggu. Tidak
dihiraukan lagi akan berpuluh pasang mata yang memfokus padanya. Pak Cik Abdul
Rahim terus sujud syukur di kala itu juga. Mereka berpelukan dengan penuh kasih
sayang.
“Pak Cik sihat? Mana Mak Cik?” bagaikan ada seribu soalan lagi yang ingin
diutarakan oleh pemuda itu.
“Asyraf, Mak Cik kau ada di dalam. Masih koma…” sayu suara itu memberikan
penjelasan.
“Astaghfirullahal azhim…apa yang dah terjadi?”
kusut fikiran Asyraf.
“Insyallah, tak ada apa-apa. Cuma dia tak tahan dengan perubahan cuaca di sini.
Sama-sama kita doakan agar dia cepat sihat…”
Pak Cik Abdul Rahim sengaja ingin menyejukkan hati Asyraf, padahal dia sudah
sedia maklum bahawa penyakit buah pinggang isterinya semakin kronik.
“Pak Cik, marilah ikut saya balik dulu. Nanti, saya akan uruskan supaya Mak Cik
Zahra boleh dirawat dengan perkhidmatan doctor peribadi di rumah saya. Mari,
pak cik…”
Asyraf mengangkat beg-beg besar yang tersorat di balik sudut keretanya. Pak Cik
Abdul Rahim tersenyum lemah. Sejuk hatinya menemui pemuda yang dianggapnya
bagaikan anak sendiri itu.
Pada malam itu, Asyraf membeli hidangan yang mahal-mahal. Sepanjang berada di
Jepun, inilah tetamu yang benar-benar mampu merawat kekosongan hatinya. Tetamu
yang sangat istimewa. Sambil menghadap hidangan, dia berbual panjang dengan Pak
Cik Abdul Rahim. Segala cerita dikongsi bersama. Asyraf agak terkejut dengan
pelbagai siri kebetulan melalui kisah pencarian Pak Cik Abdul Rahim dan
isterinya di Jepun.
Sebenarnya, semua itu adalah pertolongan Allah. Benarlah janji Allah,
barangsiapa yang inginkan kebaikan nescaya Allah permudahkan jalan ke arah itu.
Selain itu, hanya khabar yang baik sahaja yang disampaikan oleh Pak Cik Abdul
Rahim tatkala Asyraf bertanyakan keadaan keluarganya. Tidak sesekali
diceritakan konflik yang tercetus antara mereka. Dia juga cuba sedaya upaya
mengelak daripada berbicara tentang kebahagiaan Khazinatul Asrar bersama
suaminya kerana takut menghiris hati Asyraf.
“Asyraf, pak cik tengok rumah ni tak terurus betul. Bila lagi nak carikan suri?
Takkan tak tersangkut kat mana-mana gadis Jepun yang Muslimah?”
Pak Cik Abdul Rahim bergurau. Tujuannya supaya Asyraf menyedari bahawa masih
ramai lagi wanita di dunia ini selain Khazinatul Asrar. Namun, tanpa
disangka-sangka, wajah yang tadinya riang diarak garis-garis kesedihan. Wajah
jurutera komputer itu terus berubah mendung. Gurauan itu mengundang kekecewaan.
“Pak Cik, saya akan menanti Khazinatul Asrar…” luahnya jujur.
“Asyraf, terimalah kenyataan…” pujuk Pak Cik Abdul Rahim.
“Pak Cik, saya takkan jumpa lagi gadis sepertinya! Mana nak cari ganti?! Saya
akan menaruh harapan seumur hidup…” nadanya yakin.
“Masyaallah… Asyraf anakku, Khazinatul Asrar dah jadi milik orang. Tak guna
menaruh harapan…sia-sia!” Pak Cik Abdul Rahim cuba mengembalikannya ke alam
nyata.
“Pak cik, tiada yang mustahil dengan kuasa Allah. Setiap malam saya berdoa agar
Allah cepat-cepat menarik nyawa suaminya…kerana itulah saya tetap menaruh
harapan.” Antara sedar atau tidak, Asyraf bercakap bagaikan hilang rasional.
“Astaghfirullahal azhim…kau doakan begitu pada adik kau sendiri?
Astaghfirullahal azhim. Berdosa mendoakan keburukan untuk orang lain!
Asyraf…pak cik kenal anak pak cik, Asrar memang tak suka berkawan dengan lelaki
kalau tiada urusan.
Tapi, dia memang boleh berkawan dengan kau kerana dia memang dia menganggap kau
bagaikan abang kandungnya sendiri. Tak bolehkah kau menganggapnya sebagai adik
kandung? Asyraf, redhoilah adikmu dijaga oleh lelaki yang memang dipilih Allah
untuknya…” dipujuk lagi pemuda itu. Terpaksa juga perbualan yang pada mulanya
penuh mesra melencong kepada seorang gadis bernama Khazinatul Asrar.
“Pak cik, 4 tahun saya menanti Khazinatul Asrar di United Kingdom. Bagi saya,
semua wanita tak boleh mendapat tempat di hati saya kerana ianya milik
Khazinatul Asrar. Dialah bidadari hidup saya. Ketegasannya dalam menerima
lelaki telah meruntuhkan sikap playboy saya selama ini. Dia membuka minda saya
tentang mahalnya harga seorang wanita untuk dipermainkan. Hidup saya lebih
bermakna apabila saya dikenalkannya dengan hakikat cinta yang mesti disandarkan
pada Pencipta. Adilkah Khazinatul Asrar meninggalkan saya setelah peribadinya
benar-benar menambat hati ini?”
Asyraf memuntahkan rasa kecewanya, kemudian menyambung lagi,
“Dah beberapa kali saya melamarnya melalui surat dari UK. Saya sedaya upaya
meyakinkannya bahawa saya serius. Tak bergurau! Dia suruh saya sandarkan pada
Allah dan berdoa. Dia juga menasihatkan saya agar kurangilah menghubunginya
kerana ingin menjaga rahmat Allah dan mengelak dari fitnah hati. Yakin dengan
Allah…itulah kata azimatnya. Saya akur dan yakin bahawa selagi saya didik diri
sendiri menjaga redho Allah, selagi itulah wanita yang diredhoi-Nya dijanjikan
untuk saya. Ianya satu harapan yang cukup bermakna dari Khazinatul Asrar…Tapi
akhirnya? Apa semua ni? Saya tak boleh terima…” luah Asyraf, sebak.
“Asyraf, kau sebenarnya masih ada krisis dengan keyakinan kepada Allah, lantas
Asrar yang kau persalahkan…” pedas kata-kata itu.
“Krisis keyakinan? Mustahil! Allah adalah segala-galanya dalam hidup saya…”
Asyraf membela diri.
“Bercakap memang senang… beginikah sikap seorang hamba yang mengaku Allah
adalah segala-galanya? Ciptaan Allah lebih dipuja daripada Pencipta-Nya
sendiri. Khaziantul Asrar tu sesuatu yang tidak pasti, manusia biasa yang akan
pergi. Apabila Allah menariknya dari kamu, kau harus yakin dengan Allah. Allah
lebih bijaksana dengan perancangan-Nya. Manusia hanya mampu merancang, Allah
Yang Maha Adil lah yang menentukan.. setiap taqdir Allah ada hikmahnya. Allah
tak sesekali sesuka hati menganiaya hamba-Nya. Dia Maha Pengasih. Kamu
seharusnya mentarbiyyah diri kerana cinta Allah bukannya kerana harapkan cinta
Khazinatul Asrar. Asyraf, yakinlah…kalau kau benar-benar ikhlas dan yakin
dengan Allah, pasti Allah akan menggantikan cinta manusia yang boleh dekatkan
kamu pada-Nya. Gadis yang terbaik untuk kamu. Pak cik faham, mungkin kau rasa
Khazinatul Asrar adalah gadis terbaik yang pernah kau kenali tapi tak
semestinya dia adalah gadis yang terbaik untuk kamu. Allah lebih bijak untuk
memilih seorang gadis terbaik untuk kamu dan Asrar hanya terbaik untuk
suaminya. Aturan Allah juga yang terbaik….Bukankah itu azimat Khazinatul
Asrar?! Terimalah ketentuan-Nya!”
Asyraf terdiam seketika tatkala ditazkirah dengan panjang lebar. Matanya
berkaca. Sarat dengan air mata. Air mata seorang lelaki.
“Asyraf, setiap malam Asrar beristikhoroh untuk memilih teman hidup. Ramai
lelaki yang cuba memenangi hatinya. Dia yakin Allah lah yang akan membuat
keputusan untuknya melalui penyerahannya yang bersungguh-sungguh pada Allah.
Dia redho dengan sesiapa sahaja yang ditunjukkan Allah buatnya. Hatinya
diserahkan bulat- bulat pada Allah sebelum sedia menerima cinta lelaki.
Akhirnya, nama Mustaqhim Al- Qordhowi yang sering terbisik-bisik di
pendengarannya. Dia redho dengan istikhoroh yang dibuatnya kerana itulah
kehendak dan petunjuk Allah,” tambah Pak Cik Abdul Rahim pula.
“Pak cik, dia memang sekuntum mawar berduri yang dipelihara Allah. Cintanya
disandarkan pada Allah…tak hairanlah Allah turut membalas cintanya dengan
lelaki yang turut dicintai-Nya. pak cik, maafkan saya…” akhirnya pemuda itu
tunduk jua. Dai akur pada realiti.
“Pak cik, tentu Mustaqhim Al-Qordhowi hebat, kan? Kalau tak, masakan dia mampu
memenangi hati Khazinatul Asrar..” luah Asyraf.
“Asyraf, ramai kawan-kawannya bertanyakan soalan yang sama ketika majlis
perkahwinannya dulu. Tahu apa jawapannya?” ayah Khazinatul Asrar membuka
cerita. Tiada ketegangan lagi antara mereka.
“Put your trust in Allah! Itu saja jawapannya…” kata Pak Cik Abdul Rahim.
“Yakin dengan Allah…itu pula kata-kata azimat Khazinatul Asrar, kan pak cik?!”
Asyraf menyampuk.
“Sebenarnya, sejak awal memasuki awal kampus lagi mereka dah mula saling
mengenali kerana perjuangan yang sama. Sejak itu juga mereka saling menghormati
dan mengagumi antara satu sama lain. Tapi, Mustaqhim Al-Qordrowi tidak terburu-
buru untuk memenangi hati Khazinatul Asrar. Akalnya mengatasi nafsu kerana
kesedaran bahawa selagi belum bersedia berumah tangga, selagi itulah langkah
untuk mencintai wanita adalah sia-sia. Penuh kelalaian dan warna-warni syaitan.
Dia amat menyukai Asrar sejak awal perkenalan lagi, tapi dia sedar Allah lebih
mengetahui adakah Asrar diciptakan untuknya atau tidak. Dia tak mahu mencintai
wanita yang bukan diciptakan untuknya. Oleh itu, dia bermujahadah melawan
kemahuannya yang meronta-ronta untuk meluahkan sesuatu pada Asrar. Tempoh masa
sebelum bergelar ‘orang yang bersedia’ adalah sekejap cuma. Kadangkala, dia
tercabar dan bimbang apabila nama Asrar menjadi siulan. Hinggalah perasaannya
terdesak untuk meluahkan jua. Namun, hanya di tahun akhir, dia memberanikan
diri menghantar risalah-risalah yang mendidik ruhiyyah, tauhid, fikrah dan
harakah. Itulah tanda cintanya. Mereka juga bercinta sebenarnya tapi dihijab
oleh hijab yang tebal kerana takut rumahtangga yang dibina atas landasan
kemurkaan Allah. Lihatlah keadilah Allah untuk cinta setulus ini. Mereka
mengecapi cinta yang diredhoi selepas kahwin. Mereka menang dalam mujahadah.
Dalam menyukai seseorang, ingatlah segala perbuatan yang melalaikan dan
menjauhkan hati dari Allah, selagi belum berkahwin, ianya adalah haram. Tapi,
yang haram itu sekejap cuma. Lepas kahwin, halallah… sebab itu kena sabar dan
kuat.”
Panjang sekali Pak Cik Abdul Rahim bercerita.
“Wah, arifnya pak cik tentang cinta! Mana pak cik dapat cerita Mustaqhim dan
Asrar ni?!” Asyraf beransur ceria.
“Eh, Khazinatul Asrar tu kan satu-satunya puteri pak cik! Dah tentu setiap inci
hidupnya pak cik ambil tahu. Lagipun, Mustaqhim memang tak berahsia dengan
kami….” Balas Pak Cik Abdul Rahim.
“Pak cik boleh jadi contoh ayah dan mertua mithali,”
Asyraf mengusik ayah Khazinatul Asrar. Wajahnya berubah ceria. Sifatnya yang
suka mengusik kembali menghiasi. Hatinya lembut. Kedua-duanya tidur jauh di
lewat malam. Keletihan mengulit lena Pak Cik Abdul Rahim. Namun, suara rintihan
seorang lelaki sedikit mengganggu tidurnya. Dalam kesamaran dia sempat juga
menangkap seungkap doa Asyraf yang sedang sujud bertahajjud di sebelah
katilnya.
“Ya Allah, Engkau telah takdirkan, dia bukan milikku… bawalah dia jauh dari
pandanganku, luputkanlah dia dari ingatanku…dan peliharalah aku dari
kekecewaan. Ya Allah, ya Tuhanku Yang Maha Mengerti, berikanlah aku kekuatan,
menolak bayangannya jauh dari hidupku..”
((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))
“Pak Cik, Mak Cik macam mana?”
Asyraf bersuara lembut sebaik sahaja wanita berwajah lembut itu perlahan-lahan
membuka mata. Badannya masih lemah terbaring di katil hospital.
“Asyraf? Asyraf ke ni? Mak Cik bermimpi?”
Mak Cik Zahra minta kepastian sambil tangannya digosok-gosok ke mata.
“Ini Asyraf mak cik. Mak cik tak bermimpi!” Asyraf mengukir senyuman.
“Oh, Asyraf! Mak cik rindukan kamu….kamu sihat?” ceria wajah penyayang itu.
“Alhamdulillah, saya sihat. Saya minta maaf sebab menyusahkan keluarga mak cik.
Ampunkan saya!” Asyraf memang cukup kesal.
“Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Asyraf, pulanglah ke Malaysia. Tak baik
membiarkan mak dan ayah kamu rindu. Kasihan mereka,” seakan suatu rayuan.
Asyraf tertunduk.
“Maafkan saya, mak cik. Biarlah saya fikirkan dulu. Namun, saya tahu Malaysia
tetap negara saya. Keluarga saya di sana….” Asyraf bersuara perlahan.
“Ramai orang yang sedang menunggu kamu pulang…pulanglah!” Mak Cik Zahra merayu
lagi.
“Err…bila mak cik dan pak cik nak balik ke Malaysia?” Asyraf bertanya.
“Tak pasti lagi, Asyraf. Lepas ni, kami nak buat umrah di Mekkah. Mak cik tak
nak lama di Jepun, Mak cik tak tahan dengan musim salji…” terang mak cik Zahra.
“Tapi…tahan ke mak cik dengan suhu panas di Mekkah nanti?”
Asyraf mengingatkan.
“Panas Mekkah penuh baraqoh! Mak Cik tak kisah… mati di sana pun, tak mengapa.
Lagi baik…” tenang wajah mak cik Zahra.
“Eh, mana pak cik kau?” wajah suami tersayang berlegar-legar di fikiran.
“Pak cik ada berehat di rumah saya. Saya datang ni pun sebab nak jemput mak
cik. Insyallah, saya akan dapatkan rawatan peribadi untuk mak cik nanti.”
((((((((((((((((((((((((((((()))))))))))))))))))))))))))))))
“Bang, tak sabar rasanya nak sampaikan berita nie pada ummi dan abah, tentu
mereka bersujud syukur. Asrar dah dapat imagine, cerianya wajah-wajah ummi dan
abah nanti…”
Khazinatul Asrar mengomel manja di sisi suaminya. Mereka dalam perjalanan
pulang dari Tanah Suci Mekkah.
“Banyakkan bersyukur…paktikan Asrar cukup halus menjaga maksiat hati agar si
comel kita dipelihara Allah dari karat mazmumah. Dampingi Al-Quran selalu agar
itulah yang menjadi hujjah hidupnya nanti. Sejak di alam rahim, kenalkanlah dia
pada ibadah hati dan fizikal, agar dia rasa lazat bersama Penciptanya.
Mudah-mudahan lahirlah dia sebagai zuriat yang soleh. Rasulullah cukup
berbangga tiap kali umatnya lahir, moga-moga bakal mewarisi perjuangan
Baginda,” pesan seorang nakhoda bahtera rumahtangga.
Sebelum berangkat pulang, ayahbonda Mustaqhim Al-Qordhowi beberapa kali sujud
di Baitul Haram. Cucu dari anak lelaki bungsunya itu cukup dinanti-nantikan.
Mereka terharu kerana menerima berita Khazinatul Asrar mengandung selama
sebulan di bumi barokah tersebut. Khazinatul Asrar termuntah-muntah dalam
tudungnya tatkala bertahajjud di Masjidil Haram. Badannya lemah longlai, tak
bermaya. Mulanya, ingatkan dia cuma demam, rupa-rupanya doktor mengesahkan
bahawa dia alahan kerana mengandung. Di lapangan terbang, kepulangan mereka
disambut oleh puluhan sanak saudara. Khazinatul Asrar gembira kerana Mak Cik
Nab dan Pak Cik Soleh pun turut serta. Maha luasnya rahmat-Mu, Ya Allah!
“Mana ummi dan abah?” bisik hatinya sambil meninjau-ninjau dua wajah tercinta
itu dari celahan manusia.
Ibu Mustaqhim Al-Qordhowi pula begitu exited mengumumkan berita gembira tentang
menantunya. Khazinatul Asrar tersenyum manis sambil menggenggam erat jari
jemariibu mentuanya. Suasana bertambah meriah dengan berita itu. Mak cik Nab
menghampiri Khazinatul Asrar sambil memohon maaf. Dipeluknya gadis itu. Pak Cik
Soleh pula tersenyum malu pada Mustaqhim Al- qordhrowi. Mustaqhim Al-qordhrowi
terlebih dahulu menghulurkan tangan, bersalaman dengan Pak Cik Soleh. Awan
mendung berarak sudah, terjalin kembali ukhuwwahfillah, yang takkan lagi
musnah, walau ombak badai dating mendesah, tautan erat tak mungkin patah.
“Ummi dan abah tak datang?” soalan yang sudah sedia diduga oleh semua sanak
saudara yang mengerumuni mereka.
Seorangpun tidak tampil memberikan jawapan. Malah ada yang mula berlawak jenaka
agar soalan itu berlalu tanpa jawapan. Mak Cik Nab cepat-cepat mengajak pulang.
Enam buah kereta siap menanti.
“Mungkin ummi dan abah menanti di rumah!” pujuk hati kecil Khazinatul Asrar.
Hatinya begitu melaonjak untuk mengucup tangan dan pipi keduanya bersama sebuah
berita gembira.
“Mustaqhim, Asrar…apa kata kalau ke rumah kakak, boleh?!” ajak Kak Mukminah,
kakak sulung Mustaqhim Al-qordhrowi yang dah pun mempunyai lima orang anak.
Pintu keretanya dibuka untuk mempersilakan adiknya masuk bersama isteri.
Ayahbonda Mustaqhim Al-qordhrowi sudah pun masuk ke kereta Kak Muslimah, anak
kedua mereka yang sudah 3 tahun berumah tangga dengan seorang warga Pakistan.
Muslimah tinggal sementara bersama ayahbondanya di Bandar Al-Muktafi Billah
Syah sementara menanti suaminya yang menguruskan urusan perpindahan di
Pakistan.
“Eh, Mak Cik Nab dah masak sedap-sedap. Balik rumah kami sajalah..” pelawanya
bersungguh-sungguh.
“Terima-kasihlah semua. Asrar rasa nak balik rumah Asrar dulu… boleh kan, bang?
Kasihan ummi dan abah yang dah lama menanti di rumah,” pelawaan itu ditolak
baik. Mereka terdiam lagi.
Akhirnya, Pak Cik Soleh dan Mak Cik Nab menghantar mereka pulang ke rumahnya
yang sepi tak bertuan. Khazinatul Asrar dan suaminya tertanya-tanya melihat
rumahnya rapat berkunci. Akhirnya, Mak Cik Nab berani membuka mulut,
menceritakan apa yang telah berlaku. Nadanya sebak dan rasa bersalah.
“Apa? Ummi dan abah ke Jepun? Semata-mata mencari Abang Asyraf?! Ya Allah,
lindungilah mereka…”
Khazinatul Asrar cuba mengawal perasaan. Kolam matanya tidak mampu lagi menyeka
banjir air mata.
“Bila ummi dan abah akan pulang, mak cik?” soalnya kesayuan.
“Sayang…kita masuklah dulu. Kasihan pak cik dan mak cik berdiri di luar begini.
Abang ada kunci spare ni,”
pujuk seorang suami. Khazinatul Asrar akur. Dioraknya langkah lemah. Di ruang
tamu, ada sekeping manila card menyambut kepulangan mereka di atas meja tamu.
Tulisan abah tertera di situ…
“ASSALAMUALAIKUM. SELAMAT PULANG PENYERI KELUARGA! MAAFKAN ABAH DAN UMMI KERANA
KAMI RASA MUNGKIN KAMI TAK SEMPAT MENYAMBUT ANAKANDA BERDUA DARI TANAH SUCI.
MUSAFIR KAMI ADALAH MUSAFIR YANG MUNGKIN PANJANG. DOAKAN AGAR ALLAH MEREDHOI
ABAH DAN UMMI DAN DOAKAN AGAR KAMI BERJAYA MENCARI ASYRAF DEMI MENJALINKAN
KEMBALI SEBUAH PERSAUDARAAN…KERANA ALLAH!”
LOVE, ABAH DAN UMMI. _____________________________________
________________________________
Bertambah sayu sekeping hati seorang anak. Mak Cik Nab dan Pak Cik soleh
juga turut sebak menahan pilu. Mereka benar-benar rasa bersalah dan berdosa
terhadap keluarga itu. Lantaran itu, berulang-ulang kali mereka memohon maaf,
sementara Khazinatul Asrar dan suami berulang kali juga melarang mereka agar tidak
memohon maaf lagi. Tiada maaf yang perlu diberikan kerana mereka tak pernah
menyimpan dendam. Persaudaraan dan berkasih sayang adalah prinsip keluarganya.
“Abah, ummi…Asrar akan menanti kepulangan abah dan ummi! Begitu juga kandungan
Asrar ini. Abah…ummi… Asrar terlalu rindukan abah dan ummi, pulanglah…” monolog
Asrar sendiri.
“Mungkin Allah atur ujian ini untu mengajarku lebih berdikari sebagai seorang
isteri tanpa abah dan ummi. Allah Maha Perancang, aku redho…” pujuk hati
Khazinatul Asrar, berbaik sangka dengan Allah.
(((((((((((((((((((((((((((((()))))))))))))))))))))))))))))))
“Mummy, kalau boleh Hijriah nak jemput sendiri Khazinatul Asrar ke majlis
perkahwinan Hijriah nanti. Boleh tak mummy temankan Hijriah ke sana hujung
minggu ni…ala, bolehlah Mummy!!” Hijriah cuba memujuk ibunya.
“Kawan Hijriah, Humaira’ tu pun nak ikut sekali. Kami dah rindu sangat kat
Khazinatul Asrar,” terus memujuk.
“Nanti Mummy check balik diari Mummy, rasa macam ada appointment dengan client
Mummy this weekend…” begitulah gaya wanita berkerjaya.
“Never mind.. Daddy boleh bawakan,” pelawa dady Hijriah tanpa dipinta.
“Betul ke ni, Daddy? Eh, macam tak caye!”
Hijriah melonjak keriangan. Daddynya betul-betul berubah sikap sejak dirinya
bakal diambil orang. Masakan tidak, lelaki separuh abad bergelar Dato’ itu
sebenarnya cukup bimbang kalau-kalau anak tunggalnya itu di bawa ke Libya.
Sepilah banglo itu nanti, tiada erti lagi segala kemewahan.
“Tentu Asrar terkejut kalau datang dengan surprise...”
Hijriah tersenyum nakal sambil bercakap dengan diri sendiri. Terus sahaja
dicapai ganggang telefon untuk menyampaikan plan itu pada Humaira’.
“……”
Suatu suara garau bergema di muka pintu pagar Mak Cik Nab.
“Alif, Aina, Alim, Kak Ngah…pergilah tengok siapa yang datang tu. Mak tengah
masak ni,” laung Mak Cik Nab dari ceruk dapur.
“Alif tengah sibuk ni…abang Alim tu relex-relex je!” suara Alif pula melaung
kuat sambil sibuk bermain game.
“Apa pulak…Alim tengah makan ni!” si alim pula memberi alasan sambil makanan
ringan Mamee Monster itu dirangupnya satu persatu.
“Ha…ha…jangan nak suruh Aina pulak. Aina tengah temankan si Tompok ni. Dia
takut main sorang-sorang nanti bapaknya gigit,” cepat-cepay Aina memberi alasan
sambil dipusing-pusingnya tali benang supaya ditangkap oleh anak kucing
kesayangannya.
“Mak, Kak Ngah tengah tidur ni…adik-adik tu pemalas, cubit jea!” gadis
remajanya pula yang mencecah Tingkatan Tiga memekik dari dalam bilik. Serentak
dengan itu sebuah kereta meluncur ke perkarangan pintu pagar. Hon dibunyikan
berkali-kali.
“Eh, tu kereta ayah!” spontan sahaja Alif, Aina, Alim dan Kak Ngah meluru
keluar.
Takut dimarahi nanti. Kelihatan di luar pagar sana, ayah sedang berpelukan
dengan seseorang. Berkeriuk dahi mereka melihat telatah ayah.
“Eh, abang Long!!!!” jerit Alim tiba-tiba.
Semuanya riuh rendah menjerit memanggil-manggil nama abang mereka. Mak Cik Nab
sangat terkejut, lantas meninggal sahaja ayam goreng yang masih tercelup dalam
minyak panas di atas dapur, tergesa-gesa dia meluru ke luar.
“Ya Allah, Asyraf??!!” Mak Cik Nab seakan tidak percaya.
“Mak, Asyraf mintak maaf! Ampu kan Asyraf…” tangan ibunya dikucup mesra.
“Syukurlah kau dah balik, Asyraf. Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim kau
tentu balik sekali, kan?!” nada Mak Cik Nab berbaur harapan.
“Tak, mak! Mereka terus berangkat ke Tanah Suci…” jelas Asyraf. Badannya yang
letih direbahkan ke sofa empuk.
“Iya?! Oh..kasihan Asrar terlalu merindukan mereka!” kesal Mak Cik Nab.
“Ini semua salah ayah...” Sesalan demi sesalan masih menghantui Pak Cik Soleh.
“Tak, ayah! Sayalah puncanya!”
Asyraf membela ayahnya. Pak Cik Soleh tetap menyesali perbuatannya terhadap
keluarga itu sambil menceritakan segalanya kepada Asyraf. Asyraf terkedu
seketika.
“Mulianya hati Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim. Mereka tak pernah
menceritakan apa-apa keburukan tentang mak dan ayah sepanjang di sana. Khabar
baik-baik sahaja mereka sampaikan,” luah asyraf. Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh
tertunduk malu. kesal.
“Eh, bau apa ni?” ayah Asyraf tiba-tiba menyedari suatu bau yang menusuk
hidung. Hangit.
“Err…jangan suruh Kak Ngah. Kak Ngah nak tolong angkat beg abang Long ni,”
gadis belasan tahun itu cepat-cepat berlalu sambil mengangkat beg berat
abangnya.
“Kau tengoklah adik-adik kau, Asyraf,” ibunya berleter sambil bergegas ke
dapur. Asyraf memandang adik-adiknya yang comel.
“Ooo…abang Long tak de, semua nakal yea!” mulalah adik-adiknya bising membela
diri. Asyraf menggeleng-gelengkan kepala.
“Ayah, esok saya nak ziarah Asrar dan suaminya. Saya sedar kini, dia bagaikan
adik kandung saya sendiri. Saya rasa bersalah pada Mustaqhim,” kata Asyraf.
(((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))
Sebuah kereta Mercedez Benz mewah berwarna silver metallic diparking di
perkarangan rumah Khazinatul Asrar.
“Mungkin dia ada tetamu,” bisik hati kecil Asyraf.
Setelah difikir beberapa kali, dia meneruskan juga niatnya untuk menziarahi
Khazinatul Asrar sekeluarga. Apatah lagi, adiknya itu sudah tentu terlalu ingin
mengetahui khabar abah dan umminya. Seperti kedatangan Hijriah, kedatangan
Asyraf sangat memeranjatkan Khazinatul Asrar dan suaminya. Semuanya datang
dengan tiba-tiba. Berdegup kencang jantung Khazinatul Asrar untuk mendengar
berita abah dan umminya yang tidak pulang bersama Asyraf dari Jepun. Namun,
sebagai adab melayan tetamu, dia mempersilakan dulu Asyraf duduk. Tidak
terburu-buru untuk bertanya. Kemudian, diperkenalkan Asyraf kepada daddy
Hijriah, Hijriah dan juga Humaira’.
“Asrar, abang minta maaf atas semua yang berlaku,”
Asyraf sudah tidak mampu lagi menahan rasa bersalah walaupun di depan tetamu
lain.
“Tidak, abang Asyraf! Bukan silap abang. Semuanya kehendak Allah. Bagaimana
ummi dan abah, mereka sihat?” Tanya Khazinatul Asrar bersopan.
“Alhamdulillah….Cuma, Mak Cik Zahra yang kurang tahan dengan perubahan cuaca.
Apatah lagi di musim salji. Tapi, sekarang mereka tak berada lagi di Jepun,
mereka dah pun ke Tanah Suci Mekkah.” Jelas Asyraf. Khazinatul Asrar tenang
mendengarnya.
“Sama-samalah kita doakan mereka…”
Mustaqhim Al-Qordhrowi menambah. Asyraf pantas merenung wajah yang bercahaya
dengan nur keimanan di sisi Khazinatul Asrar.
“Mustaqhim…saya pun ingin minta maaf dari kamu kerana banyak menyusahkan.
Insyallah, saya datang kali ni sebagai abang kandung Asrar. Kita kan tetap
bersaudara…” tutur katanya sarat dengan keikhlasan. Semuanya tersenyum.
“Nanti, jemputlah sekali ke rumah!” daddy Hijriah yang berpangkat Dato’ itu
menghulurkan kad perkahwinan anaknya kepada Asyraf.
Asyraf ceria mencapai kad itu dan menatapnya seketika. Kemudian, pandangannya
beralih pada dua orang gadis di sebelah lelaki yang agak berusia itu.
Kedua-duanya manis berbusana Muslimah. Dijelingnya pula jari-jemari mereka.
Salah seorangnya memakai cincin berlian di jari manis. Itulah Hijriah seperti
yang diperkenalkan sebelumnya. Degupan jantungnya tiba-tiba berdeguk agak
kencang tatkala menyedari gadis di sebelah Hijriah itu tiada sebentuk cincin
pun menghiasi jari sebagai tanda diri yang belum berpunya. Namun, Asyraf tidak
berani mengangkat pandangannya terlalu lama. Bimbang kalau- kalau menimbulkan
maksiat pada hati. Apatah lagi, tabir aurat yang menghijab diri menimbulkan
rasa hormat buat mana-mana lelaki. Salah satu ciri-ciri mawar berduri.
Pertemuan yang tidak dirancang itu semuanya telah menjadi perancangan Ar-
Rahman. Dia Maha Berkuasa mentaqdirkan apa sahaja. Yang pasti, Dia Maha
Penyayang terhadap hamba-Nya.
“Mungkin, dia seindah Aisyah Al-Humaira’ untukku…” bisik hati kecil Asyraf.
(((((((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))))))))
Rahmat Allah yang melimpah-limpah begitu terasa. Pak Cik Abdul Rahim bersyukur
kerana kali ini, di tengah-tengah lautan manusia dia berpeluang mencium
Hajaratul Aswad. Dingin pagi yang menanti kehadiran fajar as-siddiq, mencengkam
ke tangkai naluri. Langit gelap yang tak berawan menambahkan lagi kedinginan
subuh.
Meskipun begitu, jutaan manusia yang bergelar hamba tidak tergoda dengan lena,
masing-masing lunak dalam esak tangis mendambakan keampunan Pencipta. Terasa
hangat bahang keagungan Allah, pemilik kerajaan alam semesta. Dalam kelazatan
rintihan dengan nikmat ketenangan, tiba-tiba bauan harum semerbak daripada
kuntuman-kuntuman mawar menyelinap masuk ke rongga hidungnya. Mata yang sejak
tadi terpejam khusyuk, dibuka perlahan-lahan. Jemaah umrah di kiri dan kanannya
tidak menunjukkan respond apa-apa. Terus khusyuk menghadap Khaliqnya. Bagaikan
dia seorang sahaja yang tercium haruman wardah itu. Bauan itu sepintas lalu
dibawa angin dingin. Perlahan-lahan pandangannya beralih pula ke kaabah yang
tersergam megah dan indah.
Gemersik dedaunan Raihan dengan irama mengasyikkan…bermain-main di
pendengarannya. Tiba-tiba, kelihatan di dada Kaabah terskrin secara samar-samar
wajah seorang wanita yang cukup dikenali, cukup disayangi. Wajah itu indah
bermandikan seri, penuh perhiasan yang melengkapi, bagaikan bidadari dari Taman
Firdausi. Itulah wajah isteri tercinta, ibu yang telah melahirkan Khazinatul
Asrar untuknya. Manis wajah itu mengukir senyuman. Semakin lama, semakin
menghilang lalu luput dari pandangan. Segalanya berlalu pantas. Lama Pak Cik
Addul Rahim terpukau dengan peristiwa ajaib yang dilaluinya di awal Subuh di
Tanah Suci…sehinggalah azan Subuh mendayu-dayu kedengaran dari menara-menara
yang terbina kukuh di sudut-sudut Masjidil Haram. Selepas mendirikan solat
Subuh berjemaah bersama jutaan Ummat Islam, dia bergegas ke hotel penginapan
untuk menyampaikan berita menakjubkan itu kepada isterinya.
“Zahra, wajahmu dimuliakan Allah, terskrin di dada kaabah!” lonjak hatinya.
Setibanya di hotel, sarapan untuk jemaah umrah sudah sedia menanti, namun
isterinya masih belum pulang dari Masjidil Haram. Sabar lelaki itu menanti.
“Mungkin dia solat sunat Syuruk seterusnya menunggu Dhuha,” fikirnya.
Lama waktu penantiannya….berjam-jam. Diisi dengan tasbih dan zikir. Jantungnya
asyik berdebar-debar. Entah mengapa… Tak lama kemudian, muncul kelibat
seseorang. Pengurus jemaah umrah Malaysia rupanya. Lelaki itu berjalan ke
arahnya.
“Encik ni, Abdul Rahim bin Abdullah?”
Tanya pengurus itu.
“Ya, saya!” jawab Pak Cik Abdul Rahim tersenyum mesra.
“Err, suami kepada Puan Zahra binti Muhammad?” tanyanya lagi.
“Ya, ya…” balasnya, makin tersimpul senyuman.
Rupa-rupanya, kehadirannya bersama satu berita. Seorang jemaah umrah Malaysia
telah dipanggil menghadap Allah buat selama-lamanya. Nyawanya diangkat di
Masjidil Haram.
“Zahra meninggal dunia???” satu hakikat yang sukar ditelan. Perginya takkan
kembali lagi, meninggalkan semua yang menjadi kesayangan, membakar tiap
kerinduan dan kasih sayang.
“Allahyarhamah mati dalam keadaan memangku al-Quran setelah solat Tahajjud,”
jelas pengurus itu lagi. Dada Pak Cik Abdul Rahim berombak kencang. Dia cuba
mengumpul ketabahan dan kekuatan.
“Innalillahi wainna ialihi rojiu’n…” manik-manik jernih gugur membasahi pipinya
satu persatu. Kolam matanya tewas menentang arus kesedihan.
“Beratnya ujian ini…Oh, Tuhan!!!” dadanya sedih menahan sebak.
“Zahra, kau pinjaman Allah! Abang redho dengan kuasa Allah menarik balik
pinjaman- Nya. sedangkan Rasulullah juga berpisah dengan Khadijah
tercinta…Al-Fatihah,” bisik hatinya penuh sayu dan hiba.
Pipinya banjir dibasahi air mata. Jenazah ibu Khazinatul Asrar selamat
disemadikan di Bumi Barakoh, Mekkah Al-Mukarromah. Beruntunglah dia kerana
disembahyangkan oleh lautan para jemaah umrah. Tenang wajah Allahyarhamah di
saat kematian.
“Ya Allah, golongkan dia bersama golongan yang Kau redhoi kerana dia isteri
yang solehah. Jadikan dia sebagai bidadariku andai aku layak untuk
syurga-Mu..amin ya Rabbal A’lamin.”
Doa kudus seorang suami mengakhiri tawaf wida’ sebelum berangkat dari Tanah
Suci. Hatinya berbisik lagi,
“Khazinatul Asrar puteriku, maafkan abah kerana pulang tanpa ummi bersama.
Semoga kau akan tabah menerima suratan ini nanti. Abah dapat rasakan, betapa
pilunya hatimu duhai puteriku kerana tak dapat lagi melihat ummi untuk
selamanya. Ummi milik Allah, anakku…Allah lebih menyayanginya. Abah terpaksa
tinggalkan jenazah ummi di Bumi Barakoh ini, namun sifat penyayang ummi tetap
abah bawa pulang bersama. Moga, kaulah nanti yang mewarisi keindahan ummimu
sabagai hiasan duniawi seorang suami, seindah mawar berduri……..”
Dan air mata lelakinya tumpah lagi.
DEMIKIANLAH, SEINDAH MAWAR BERDURI…..
Ku damba kasih Ilahi…
FATIMAH SYARHA MOHD NORDIN P
~Habis sudah cerita yang penuh pengajaran yg membawa pembaca lebih mengenali Allah..tahniah kepada idola saya,FATIMAH SYARHA kerana menghasilkan cerita yg menarik...~ ^^